|
HARI ini nak pakai baju mana ya? Ini soalan yang kita biasa tanya diri
kita jika nak keluar bekerja, membeli-belah, menziarahi seseorang dan
majlis tertentu, sama ada lelaki atau perempuan, remaja atau yang
berusia.
Biasanya kita memilih pakaian yang paling kita suka. Dalam Islam ketika memilih pakaian, kita ada identiti tersendiri.
Semuanya kena ambil kira, soal fiqah dan syariat. Sebab pakaian yang
kita pakai sangat kuat terikat dengan keyakinan dan iman dalam hati
kita. Malah, pakaian adalah lambang keimanan.
Sebabnya Allah sudah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai
Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta
perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup
seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai
untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini
mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi
Maha Mengasihi." (al-Ahzab: 59)
Rupanya soal pakaian ada disebut kod dan etikanya dan panduan ini mesti diikuti semua Muslimah.
Berpakaian tak boleh ikut suka kita saja sebab kita hamba Tuhan.
Sebagai hamba kena ikut tauke dan kalau tidak ikut juga dah kira lawan
tauke.
Kali ini saya ingin menyentuh mengenai pakaian remaja yang nampaknya sudah tidak mengikut kod dan etika al-Quran.
Adik-adik remaja di luar sana sudah tidak menghiraukan lagi halal haram
dalam pemakaian, asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa
'kononnya' dan mengikut gaya fesyen terkini.
Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian '2H' iaitu 'Halal' tetapi 'Haram'.
Ini amat ketara jika kita perhatikan di sekeliling kita, ramai remaja
yang bertudung. Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup
aurat.
Bagaimanapun, jika diperhatikan, ramai di kalangan mereka yang
berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan
'three quarter' (tiga perempat) paling glamor dan popular di kalangan
remaja bertudung.
Suatu ketika dahulu, pakaian sedemikian begitu mengaibkan dan
memalukan, namun kini seolah-olah ia menjadi pakaian yang dialu-alukan.
Mana tidaknya, pakaian sedemikian banyak bersangkutan dan berampaian di
gedung pakaian di negara kita ini. Pelbagai fesyen baru hadir bagai
cendawan tumbuh selepas hujan. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil
sehingga tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu sukar
untuk membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja.
Sebilangan daripada remaja kita juga lupa atau tidak tahu jantina
mereka sendiri sehingga si lelaki memakai pakaian perempuan, sementara
perempuan pula sebaliknya.
Ustaz harap adik-adik remaja berhentilah daripada kebiasaan ini kerana
dilaknat Allah. Ini jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah
s.a.w yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."
Ada pula yang berkata: "Berpakaian menutup aurat dan bertudung, nanti
tak cantik." Siapa kata tak cantik kalau bertudung, bahkan kelihatan
manis, beradab, bersih dan ada gaya tersendiri, sekali gus membezakan
antara Muslimah dan bukan Islam.
Ada pula yang berkata, rambut adalah 'mahkota', jadi kenalah tunjuk.
Kata-kata itu sangat tidak betul kerana jika rambut mahkota, kenalah
simpan baik-baik.
Mengapa kena simpan? Ini kerana raja dan permaisuri pun hanya pakai
mahkota di tempat tertentu saja, tak dibawanya ke pasar, kelab malam,
padang dan lain-lain tempat, malah di tempat tertentu dan orang
tertentu sahaja.
Tunjuklah mahkota itu pada suami tercinta sahaja, bukannya dikongsi dengan orang lain.
Ada pula yang berkata 'ikut fesyen moden dengan seksi dan terdedah senang pikat lelaki dan dapat kekasih.'
Aduhai remaja, jangan rendahkan martabat kita sebab bimbang nanti
lelaki akan mempermainkan anda. Kerap berlaku kes 'dapat manis sepah
dibuang' iaitu jadi bahan seronok saja.
Kalau dapat kahwin pun tak lama putus di tengah jalan. Rumah tangga
dibina akhirnya tinggal tangga sahaja. Ingatlah, pakaian ahli syurga
ialah menutup aurat.
Sumber :
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20090814...
|