|
Namaku SiPun, aku adalah dari bangsa slipar Jepun.
Jenis-jenis lain, juga yang selain daripadaku dijual di merata kedai
sukan. Aku telah dibeli semenjak setahun yang lepas. Semenjak itu
hidupku mula berubah. Aku menjangkakan tentulah kebanyakan daripada
hayatku akan kuhabiskan di trek atau di gimnasium. Tapi jangkaanku
meleset.
Tuanku lebih kerap membawa aku ke masjid-masjid dan ke rumah
kawan-kawannya. Aku sempat mencuri-curi dengar kegiatannya dalam
kelompok tersebut. Itulah yag dinamakan usrah
rupanya. Apa yang ingin ku ceritakan di sini mungkin berguna kepada
kalian semua. Berikut adalah pemerhatianku berkenan tuanku. Dia seorang
da`i, kekagumanku dengan usahanya telah menginsafkan aku untuk
mncoretkan warkah ini.
Dahulu, tuanku hanya berseorangan. Aku selalu ke masjid bersamanya
seorang. Di sana beliau mengabiskan masa mendengar ceramah agama, tak
cukup dengan itu, habis kedai-kedai buku agama kami kunjungi.
Sememangnya dia seorang yang obsessed
dengan ilmu pengetahuan. Tafsir al-Qur'an memang selalu dibacanya. Ini
membanggakan aku, kerana dapat berbakti kepada seorang yang cintakan
ilmu.
Aktivitiku tidak terhad begitu sahaja, aku juga sering dibawa ke
kompleks sukan dan padang bola. Yang peliknya aku mendapat ramai
kenalan ketika berada di padang, tetapi sering berseorangan ketika
dibawa ke masjid.
Dahulu, ini menjadi aktiviti kegemaranku, kerana
dengan ini aku mendapat ramai kawan. Mulanya aku agak pelik dengan
situasi ini, tetapi lama-kelamaan ramai kenalanku turut serta setiap
kali aku ke masjid. Kini fahamlah aku, tuan aku menggunakan padang bola
dan kompleks sukan untuk berdakwah rupanya. Masya Allah! Tak sangka
juga, dengan aktiviti sukan tuan aku sempat juga mengajak rakan-rakan
ke masjid. Sekarang aku tidak bersendiri lagi. Hampir setiap malam tuan
aku akan berkunjung ke rumah rakan-rakannya. Di sini aku mengambil
peluang untuk bersama dengan rakan-rakanku untuk bertukar pengalaman.
Rakan-rakanku amat mengagumi tuanku. Aku tumpang berbangga.
Usrah berjalan hampir setiap malam. Sememangnya tuan aku tidak kenal
erti rehat. Baginya tempat rehat adalah Syurga dan masa untuk tidur
adalah di alam kubur. Semua kasut akan senyap setiap kali tuan aku mula
berbicara. Kaata-katanya penuh hikmah, setiap isi disokong dengan hadis
dan ayat al-Qur'an. Tuan aku tidak banyak bercakap apatah lagi perkara
yang sia-sia. Aku dapati rakan-rakan tuanku turut kagum dengan
kebolehannya.
Apabila bersama rakan, tidak pernah langsung beliau mencerca rakan yang
lain. Jika ada perkara yang hendak ditegurnya akan dilakukan dengan
hikmah. Aku lebih banyak mendengar beliau memuji orang berbanding
mencerca kesalahan orang.
Kini aku masih berbakti lagi. Aku tahu kalian tentu menganggap
tulisanku ini gila dan tidak masuk akal. Akan tetapi renungkanlah
kata-kataku ini. Aku mungkin kasut, tetapi suatu hari nanti mungkin
Tuhan akan memberikanku mulut untuk berkata-kata, untuk bersaksikan apa
yang tuan aku telah kerjakan. Pada saat itu akan aku saksikan pada
Tuhan apa yang aku nukilkan pada kalian.
Untuk kalian semua contohilah tuanku. Berdakwahlah dengan cara hikmah.
Jangan sekali-kali lari dari masyarakat. Terkadang masyarakat di
sekeliling kalian suka bersukan, atau mungkin sukakan hiburan. Ikutlah
rentak mereka sebagaimana aku menari mengikut irama tuanku. Dalam
berkata-kata hendaklah kalian berhati-hati, jauhilah cerca dan maki,
lebihkanlah ukhuwwah dan pujian. Sesungguhnya mad`u suka dipuji. Namun
puji biarlah ikhlas.
Apabila berbicara gunakanlah al-Qur'an dan al-Hadis. Jangan kalian ikut
sesedap mulut, kelak menikam kalian dari belakang. Tambahkanlah ilmu
kalian, maka orang akan mendengar cakap kalian. Bukankah Tuhan
menjanjikan darjat yang tinggi untuk orang yang berilmu? Jadilah da`i
yang serba boleh. Jangan kalian sekatkan skop dakwah kalian, setakat
mengajak ke surau dan masjid. Ingatlah, bersukan, muzik, berjalan, itu
semua adalah dakwah bagi kalian. Setapak kalian berjalan, mungkin bisa
mencampak hidayah ke dalam diri teman kalian.
Oh! Aku memang tidak layak untuk menasihat kalian. Apatah lagi aku
hanya sepasang kasut. Kalian tidak perlu memaafkanku kerana aku
hanyalah kasut. Tetapi maafkanlah tulisan aku kira aku cuba mengajar
kalian, makhluk yang terbaik di sisi Allah. Sebelum lidah kasutku ini
bergetar deras, cukuplah dulu nukilan dariku, sepasang kasut seorang
da`i.
Glossari:
daie = orang yang mengajak (kepada kebaikan dan meniggalkan keburukan)
mad'u = orang yang diajak oleh orang yang mengajak
usrah = (asal Bahasa Arab) keluarga
artikel asal : http://cintaagong.blogspot.com
|