Khemah Ibadah

Share

Khemah Ibadah tarik lebih 300 peserta

TRONOH, 3 JANUARI - Pihak Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) telah mengadakan program Khemah Ibadah(KI) bertempat di UTP sendiri. Program ini telah berjaya dijalankan dengan jayanya untuk kali yang keempat sejak tahun 2008 lagi. Dengan membawa tema 'Ke Arah Melahirkan Anak Soleh', program ini telah berjaya disertai oleh 362 orang peserta dari serata Malaysia yang berumur antara 10 hingga 15 tahun.

Figure 1 : Khusyuk menyalin nota mengenai cara-cara solat

Figure 2 : Adik-adik aktif menanyakan soalan ketika sesi kuliah.

Pengarah program, saudara Shafiq bin Mohammad Nor berkata,objektif utama program ini adalah untuk membimbing para peserta dengan kefahaman asas Islam yang patut ada dalam diri setiap Muslim. Program 5 hari 4 malam ini turut bertujuan untuk mebantu para peserta dalam pelaksanaan ibadah dan menanamkan ciri-ciri mahmudah dalam diri anak-anak. Selain itu, program ini turut membimbing para peserta dalam membina ketahanan fizikal dan pengurusan masa yang bijak melalui pendekatan kreatif dan inovatif.

Figure 3 : Antara aktiviti yang dijalankan, praktikal solat dan hafazan surah lazim

Sepanjang program ini para peserta telah disediakan dengan pelbagai aktiviti yang menarik yang dapat mendekatkan lagi para peserta dengan kefahaman Islam. Penganjuran program ini bukan sahaja dapat mengisi waktu lapang semasa cuti sekolah dengan aktiviti yang berguna bahkan dapat memberi peluang kepada para peserta menimba pelbagai ilmu yang bermanfaat.

Figure 4 : Modul-modul yang dijalankan insyaAllah dapat memberi manfaat dan ilmu yang berguna kepada adik-adik

" Mendapat anak-anak yang soleh adalah harapan setiap ibu bapa. Justeru, pihak kami mengambil inisiatif untuk menganjurkan program sebegini sebagai wadah kepada para ibu bapa untuk membentuk anak-anak mereka ke arah yang lebih baik, insyaAllah", jelas pengarah program.

InsyaAllah, program Khemah Ibadah akan dianjurkan lagi untuk kali yang kelima pada hujung tahun ini. Pihak penganjur mengharapkan sambutan dan penyertaan yang lebih menggalakkan bagi tahun 2012.  Program seumpama ini amat memberi manfaat bagi para ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka mengisi masa cuti sekolah dengan berfaedah di samping menimba pelbagai ilmu. Untuk lebih info, bolehlah layari blog Khemah Ibadah di http://kiutp.blogspot.com

 

Add comment


Security code
Refresh