Assalamualaikum WBT
Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Illahi kerana dengan RahmatNYA kita masih diberi peluang untuk sentiasa memperbaiki diri. Ayuh berselawat ke atas Rasul junjungan yang menyayangi ummat sepenuh hati dan menyuluh kehidupan mereka dengan pusaka berharga; Al-Quran dan As-Sunnah.
Pembaca sekalian,
Norma kehidupan menunjukkan di mana ada makhluk pastinya ada kholiq (pencipta). Seperti mana konsep penerbangan pertama yang dicipta Abbas Qasim Ibnu Firnas (di Barat : Armen Firman) begitu juga manusia yang dicipta Allah SWT. Seharusnya didatangkan dalam diri kita rasa berTuhan dan sentiasa diperhati olehNYA. Mustahil bagi manusia untuk lari dari hakikat kehambaan kepada Allah. Al maklum, kebanyakan perkara dan ulasan yang berlaku pada hari ini agak jauh dari konsep berTuhan.
Seharusnya perkara asas keimanan yang perlu tahu antaranya ialah
Mesti beriman Pencipta Alam adalah Maha Berkuasa, Maha Mengetahui. (Al-Anbiya’:22)
- Ciptaan Allah penuh dengan keindahan dan tersusun pergerakannya.
- Tidak ada ruang untuk kita derhaka kepada Allah.
Allah menciptakan sesuatu bukan sia-sia. (Al-Mukminun : 115-116)
- Kehidupan seharusnya berpaksikan kehambaan kepada Allah. (Az-Zariyat : 56)
- Kita akan mati dan mengadap Allah dengan amalan yang ada.
Rasul-rasul diutus untuk mengajar manusia mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian manusia. (An-Nahl : 36)
- Perlulah berusaha untuk belajar ilmu-ilmu Islam terutama berkaitan syariat Islam supaya kehidupan sentiasa berada ’on track’ ; tidak melanggar batasan Islam.
- Memahami taraf kehambaan untuk sentiasa beriman dan menjauhi larangan Allah.
Jadi, atas dasar apakah yang menyebabkan manusia berasa angkuh dengan Allah dan buat tidak tahu dengan seruan Islam yang dilaung-laungkan? Sekiranya kita belum mengetahui, maka tindakan kita ialah mencari kebenaran Islam, menjinakkan diri dengan program-program keilmuan Islam dan kerohanian, membuang ego yang menyelaputi diri sehingga menjauhkan diri dari cahaya kebenaran.
Kehidupan yang penuh cabaran ini menuntut untuk kita bersama-sama dengan Islam supaya terselamat dari tipu daya syaitan dan musuh-musuh Islam. Kita sama sekali tidak menyalahkan mana-mana individu terutamanya remaja Islam yang terlibat dalam kehidupan tidak Islami kerana mereka merupakan ”pesakit” yang dijangkiti oleh musuh-musuh Islam dan mereka perlu dibantu dan dirawat. Barangkali kita juga terlibat secara tidak sedar.
Oleh itu, ayuh sama-sama untuk kita mencari kebenaran Islam dengan menimba Ilmu pengetahuan dari sumber yang baik dan diyakini. Telusurilah ilmu dengan ikhlas semata-mata kerana Allah kerana beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ialah :
- Sekiranya menuntut ilmu untuk kepentingan duniawi dan jauh dari tujuan Islam, ditakuti mati dalam ”su-ul khatimah” (akhir yang buruk).
- Sekiranya dihasuti syaitan untuk bermegah-megah dengan ilmu malah digunakan untuk kemungkaran, tipu daya dan menyembunyikan kebenaran, maka mereka dalam keadaan binasa.
Hadis Rasul SAW :
Ertinya : ”Selain dari Dajjal ada satu perkara yang aku bimbangkan daripada Dajjal. Lalu ada orang bertanya : Apakah itu wahai Rasulullah? Nabi menjawab : mereka ialah Ulamak Su’ (Ulamak jahat).
Pembaca sekalian,
”Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad, s.aw.) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya),dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (Pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
(Al-Jumu’ah : 2)
Di luar sana telah banyak perkara yang dicemari sehingga perkara buruk kelihatan baik. Jadi, dengan kesedaran dan aplikasi ilmu Islamlah yang membantu kita berada dalam golongan yang diredhai Allah dan jauh dari kesesatan yang nyata. Islam memberi garis panduan yang lengkap seperti : tatacara pergaulan Islam, pemakaian Islam, hiburan Islam dan pelbagai lagi yang meraikan fitrah manusia.
Ayuh sahabat-sahabat, pak cik-pakcik dan makcik-makcik, para pensyarah, para ilmuan Islam dan para aktivis Islam, marilah mengikuti langkah Rasul SAW dengan mengembalikan masyarakat khususnya generasi muda kepada ISLAM yang syumul dan satu, menyelamatkan mereka dari ”jangkitan” dan ”penyakit” seterusnya merasai didikan berTuhan. Semoga usaha ini dibantu dan diredhai Allah SWT. Amin.
Zaiyinul Ain Bin Zainal Rafit
Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS.
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
|| 019-4549914