| 10 Kriteria Pemuda Ansorullah |
Pertama : Pemuda yang siap siaga untuk menyahut
seruan perjuangan tanpa sebarang rasa ragu bagi menegakkan syariat
Allah swt di atas muka bumi ini. Ikrar mereka ialah ikrar seorang
pejuang : "Sama ada menang atau gugur sebagai syuhada’" Kedua : Pemuda yang menjunjung segala peraturan dan arahan jamaah serta berdiri teguh bersama kepimpinannya, tidak gentar mendepani cabaran malah bersedia menghadapi apa jua implikasi perjuangan, biarpun terpaksa mengorbankan segala kepentingan diri sendiri iaitu masa, tenaga, harta, darah dan nyawa. Sebagaimana taujihat Khalid Ibnu Walid r.a. ketika berdepan dengan tentera musuh: "Kami datang dengan suatu golongan yang kasih
kepada mati sebagaimana kamu kasih kepada hidup" Ketiga : Pemuda yang memiliki kualiti dan
tahap piawaian melalui pelbagai aktiviti yang disusun dan diatur
merangkumi amal tarbawi, amal siasi serta amal kebajikan dan dakwah. Keempat: Pemuda yang mewarisi kemuliaan akhlak Rasulullah saw
dalam mengurus perjuangan mendepani tahaddiyat [ tentangan ] yang
dihadapkan oleh musuh kepada kita. Bukan pemuda yang kasar dan ganas,
bukan juga pemuda yang ekstrim dan subversif sebaliknya menjadi .... o Pemuda yang beriman dan bertaqwa o Pemuda yang berilmu dan berwibawa o Pemuda yang berorientasikan syariah dan sunnah o Pemuda yang berhemah dan berhikmah o Pemuda yang berjiwa besar dan berlapang dada o Pemuda yang tangkas dan berani o Pemuda yang cerdas dan cergas o Pemuda yang sabar dan tabah o Pemuda yang amanah dan setia o Pemuda yang rajin dan multazim [ komited ] Biarpun masyarakat dan dunia modern hari ini memandang sinis
penampilan pemuda yang sedemikian , justeru Nabi saw pernah bersabda: Islam telah bermula dalam keadaan gharib [ asing ], kelak ia
akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bemula, maka berbahagialah
orang – orang yang tetap bersama Islam walaupun dianggap asing. Kelima : Pemuda yang memiliki aqidah perjuangan yang mantap
sekalipun ia adalah seorang pemain futsal yang tegar , memiliki
pemikiran Islam yang syumul sekalipun ia seorang seniman dan memiliki
keperibadian muslim yang unggul sekalipun ia seorang pelumba motor. Keenam : Pemuda yang bersedia untuk menjadi Rijaalut Taghyiir [
agent perubah ] yang menggerakkan perubahan dalam negara, masyarakat dan
sistem pemerintahannya. Membebaskan negara dan masyarakat dari sistem
ciptaan manusia yang korup. Negara dan masyarakat yang hanya
mementingkan pembangunan material tetapi meruntuhkan spiritual. Negara
dan masyarakat yang hanya mengamalkan semangat perkauman yang sempit dan
membina tamaddun serta peradaban terpisah dari wahyu Allah swt. Ketujuh : Pemuda yang aktif menyertai aktiviti amal Islami ,
kebajikan dan sosial. Menghubungkan jamaah dengan ummah, menjadi
jambatan antara jemaah dengan masyarakat sekaligus menjuarai isu serta
menanganinya dengan bijak dan bistari. Memimpin dan membimbing
masyarakat secara hikmah berasaskan hujjah, mengambil tempat seorang
pemimpin yang disebut oleh Saidina Ali karramallahuwajhah : Tidak akan sunyi bumi ini dari seorang pemimpin yang bangun
berdiri untuk menegakkan agama Allah swt dengan segala hujjahnya. Kelapan : Pemuda yang tidak membazirkan masa dan tenaganya untuk
bertelagah dan saling tuding menuding mencari salah antara satu sama
lain sedang tanggungjawab perjuangan ini terlalu banyak dan berat untuk
diurus. Rapatkan saff dan eratkan ukhuwwah untuk membina ketumbukan
pemuda yang mantap dan perkasa. Firman Allah swt : "Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya,
dan janganlah kamu berbantah-bantahan ; kalau tidak nescaya kamu binasa
dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran
Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar." (Surah Al
Anfaal : Ayat 46) Kesembilan :
Pemuda yang senantiasa peka dan sensitif terhadap keperluan jamaah dan
tuntutan ummah. Berfikir dan merancang untuk memperkukuhkan jamaah agar
senantiasa berkeupayaan menampung tuntutan ummah yang semakin mendesak.
Janganlah hanya berpeluk tubuh dan berfikiran kosong sedang amanah pula
semakin berat dan mencabar. Sekadar selesa dan teruja memegang jawatan
tetapi mengabaikan tanggungjawab yang digalas merupakan satu
pengkhianatan yang dimurkai Allah swt. Sabda Rasulullah saw: "Kamu semua adalah pemimpin dan setiap dari kalangan kamu akan
dipertanggungjawabkan oleh Allah swt mengenai kepimpinannya" Kesepuluh : Pemuda yang berlapang dada,
merendah diri dan berjiwa besar. Sedia memberi arahan dan diarah. Sedia
memimpin dan dipimpin. Sedia menegur dan ditegur. Sedia mengkritik dan
dikritik . Sedia menasihati dan dinasihati. Sedia mentarbiyyah dan
ditarbiyyah. Cepat pula belajar dari kesilapan dan pantas mengambil
iktibar dari kesalahan. Sedia mendengar pandangan dari siapa jua dan
menelitinya lalu mengambil yang terbaik. Firman Allah swt : "Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan
Yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan Yang
sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang Yang
diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang Yang
berakal sempurna."
(Surah Az Zumar : Ayat 18) |



