|
Bismillahirahmanirrahim,
Muqaddimah

Segala puji saya panjatkan kepada Allah swt kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat saya mencoretkan sesuatu sempena sambutan tahun baru Hijrah 1431 dan Masehi 2010. Selawat dan salam buat junjungan s.a.w yang menjadi perintis penyebaran dakwah seantero dunia. Rasanya, masih tidak terlambat bagi saya mengucapkan selamat tahun baru kepada semua muslimin muslimat, Jawatankuasa Rakan Masjid, warga UTP sekalian.
Hijrah dan muhasabah
Apabila kita telah melangkah ke tahun baru ini, satu perkara yang seharusnya kita lakukan ialah untuk menoleh sebentar ke belakang, meneliti dan mengkaji apa yang telah kita lakukan sepajang tahun lalu. Apakah azam yang dicitakan pada tahun lalu terlaksana. Apakah yang kita lakukan demi menegakkan syiar Islam.
Sepertimana pesan Saidina Umar Al-Khattab,
“Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan.”
Apakah kesilapan yang telah kita lakukan. Adalah amat penting untuk kita mengkaji sejarah silam sebagai satu tauladan yang baik untuk kita perbaiki kelemahan diri. Setelah kita ketahui kelemahan, langkah seterusnya ialah berazam untuk memperbaiki dan meninggalkan kesalahan dan kesilapan tersebut. Maka disinilah konsep hijrah dipraktikkan.
Diari kita
Menyingkap tirai 1430 H dan 2009, pelbagai isu diperingkat global mahupun negara setempat menjadi perhatian ummat Islam keseluruhannya.
Isu seperti hukuman ke atas Kartika, kematian Michael Jackson, penangkapan ke atas bekas mufti Perlis, Ustaz Asri, isu serangan ke atas Gaza Palestin, musibah gempa bumi di Padang Indonesia, dan terbaru isu penggunaan nama Allah dibenarkan dalam suatu majalah.
Isu-isu seperti di atas sepatutnya menjadi perhatian lebih khusunya kepada Umat Islam. Itulah perkara pokok yang perlu dibincangkan sekarang oleh semua peringkat pemimpin dan mahasiswa.
Isu seperti ini sebenarnya memberi ruang kepada Islam untuk terus bangkit dipersada dunia dan seterusnya mematangkan diri setiap diri Umat Islam.
Tidak dapat nafikan, tekanan pihak zionis terhadap Islam akan memenuhi lagi diari 2010. Marilah kita semua berhijrah, peka dengan isu semasa, memantapkan diri, mendokongi perjuangan Islam dimana sahaja dan terus menerus menyebar luaskan usaha dakwah melalui apa jua medium sekalipun.
Kembali kepada Islam
Islam itu merupakan satu agama yang diturunkan bukan untuk satu bangsa, bukan untuk satu Negara tetapi Islam itu untuk seluruh ummat manusia tak kira siapa dan dimana kita berada. Sebagai seorang pelajar, kedatangan tahun baru ini sepatutnya dijadikan landasan bagi merubah sakhsiah diri kepada sesuatu cara hidup yang punya matlamat. Sesungguhnya dunia ini merupakan satu ladang, di mana kita bercucuk tanam sebagai bekalan ke akhirat kelak.
Apa ertinya saya menganut Islam? Itulah persoalan terbaik untuk diri kita sendiri buat masa ini. Kita Islam bukan sekadar keturunan. Islam adalah cara hidup kita.
Harapan dan penutup

Saya menyeru kepada diri sendiri dan semua , marilah kita membuat reformasi minda dan pengislahan diri kepada yang lebih baik.
Coretan sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh adalah inspirasi terbaik untuk kita contohi. Di usia 17 tahun, panglima tentera itu berjaya menawan Kota Costantinople. Nabi pernah bersabda ketika dalam Perang Ahzab
“Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”
Pemilihan imam pertama untuk Solat Jumaat ketika Islam sudah menawan kota tersebut menunjukkan, perlunya pemimpin dan rakyat yang berkualiti imannya.
Akhir kalam, tanamlah azam baru kita untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.
Wallahuallam.
Muhammad Akram bin Ismail
Presiden Rakan Masjid
Universiti Teknologi Petronas
15 Muharram 1431 H / 1 Januari 2010 |