“Terima kasih ustaz. Azam saya tahun ini, saya mahu hadir lebih kerap lagi ke majlis ilmu. Nak berubah!” kata seorang anak muda.
Beliau hadir ke salah satu program saya baru-baru ini.
“Alhamdulillah. Baguslah begitu. Semoga istiqamah,” saya memberi semangat.
“Ustaz tahu kenapa saya nak berubah?” tanyanya kepada saya tanpa diminta.
“Kenapa?” saya tidak tahu apa yang saya tidak tahu.
“Saya kasihan tengok orang macam ustaz!” ujar beliau.
“Kasihan
macam mana? Ustaz gembira sahaja. Berceramah sentiasa lebih seronok
daripada mendengar ceramah. Bukankah erti hidup pada memberi!” saya
menjawab.
“Betul
tu. Cuma saya terfikir sesuatu. 20 orang pelajar yang sepatutnya
belajar, bertungkus-lumus menjadi AJK mengatur program. Banyak susah
payah yang terpaksa mereka hadapi. Mereka kena mesyuarat untuk cari
idea supaya program ini menarik perhatian dan tidak stereotaip. Mereka
kena fikir bab makanan dan jamuan. Mereka tak cukup tidur dan
keletihan…” kisah anak muda itu.
“Itu kan bagus. Latihan dan peluang mendapat pahala” saya mencelah.
“Itu
baru mereka. Ustaz pula kena buat persediaan. Buat macam-macam slaid.
Tinggalkan isteri, tinggalkan anak-anak. Musafir jauh-jauh. Nak kata
sebab duit, saya yakin berapa sangatlah duit yang ustaz dapat. Tapi
ustaz datang juga. Dan ceramah berjam-jam dengan penuh semangat”
sambungnya lagi.
“Rutin yang menyeronokkan” saya menyelit.
“Semuanya
kerana nak bagi orang macam saya ni sedar. Dapat ilmu, dapat petunjuk.
Berpuluh-puluh orang malah beratus yang bersusah payah untuk saya.
Tiba-tiba saya lebih selesa lepak di bilik main game atau tidur sahaja. Ustaz rasa patut tak Allah bakar saya dalam Neraka kerana malas dan degil saya?” soalnya dengan nada serius.
“Allah Maha Pengampun” saya menjawab.
“Maha Pengampun kepada orang yang tidak pernah minta ampun?” tanya anak muda itu.
Saya terdiam.
“Pada saya, setiap kali ada program di kampus, ada 1001 pengorbanan
yang berlaku untuk menjayakannya. Golongan yang tak endah dengan
program itu adalah manusia yang kufur nikmat. Kalau nanti masuk Neraka
pun, semua orang akan kata, memang patut pun! Sebab itu saya takut
ustaz. Saya janji pada diri sendiri untuk tidak lagi mensesiakan majlis
ilmu terutamanya yang diatur khusus untuk orang macam saya. Kaum
pemalas!” katanya.
Antara sedih dan terharu, hinggap pula di hati saya perasaan lucu.
“Tahu takpe!” hati berkata.
Daripada :
Presiden Rakan Masjid
ditujukan khas buat semua Jawatankuasa Rakan Masjid. Semoga ikhwah akhwat dirahmati Allah swt.