| Kem Hijrah Anak Soleh 2008 |
Pada 28 Disember dan 29 Disember 2008, Rakan Masjid Universiti Teknologi Petronas telah menjalankan satu program ‘Kem Hijrah Anak Soleh 2008’ bertempat di kampung 40 Rantai, Pantai Remis. Kem Hijrah Anak Soleh 2008 ini berlangsung selama dua hari satu malam dan berunsurkan program motivasi bersempena dengan sambutan Maal Hijrah.
Seramai lebih kurang 4 orang fasilitator muslimin dan 9 orang fasilitator muslimat terlibat dalam mengendalikan gerak kerja program ini. Para fasilitator bertolak dari kampus pada pukul 9.30 pagi dengan menaiki sebuah van dan dua buah kereta. Pada pukul 11.20 pagi, para fasilitator tiba di kampung 40 Rantai. Masa yang ada sebelum sesi taklimat bermula digunakan untuk beramah mesra dengan orang kampung dan melakukan pemeriksaan awal terhadap kawasan program.
Program dimulakan pada pukul 1 tengah hari dengan taklimat ringkas kepada para peserta mengenai penempatan dan barang yang perlu dibawa. Selepas solat zohor, majlis pembukaan yang ringkas dijalankan dengan ucapan daripada pengarah program dan taklimat dari unit keselamatan dan kebajikan. Seramai lebih kurang 40 orang peserta di kalangan usia 9 hingga 16 tahun menyertai Kem Hijrah Anak Soleh 2008 ini. Kebanyakkan peserta merupakan anak penduduk kampung 40 Rantai.
Sesi taaruf bermula pada pukul 3.30 petang dengan perlantikan penghulu dan penghuluwati di kalangan peserta melalui proses undian. Penghulu yang telah dilantik adalah Mohd Shahir dan penghuluwati pula ialah Rahwani Md. Puzi. Kemudian, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Peserta muslimat dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu Siti Fatimah, Siti Khadijah dan Siti Aishah manakala muslimin pula dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu Bilal b. Rabah dan Khalid Al-Walid. Modul sarang labah-labah digunapakai semasa sesi ta’aruf di dalam kumpulan masing-masing.
Selepas minum petang dan solat Asar, sesi khidmat masyarakat dijalankan di mana peserta di bahagikan kepada dua kumpulan iaitu muslimin dan muslimat. Kumpulan muslimin ditugaskan untuk membersihkan kawasan kubur di kampung tersebut manakala peserta muslimat pula ditugaskan untuk membersihkan kawasan masjid dan surau. Sesi diteruskan dengan bacaan doa akhir tahun, solat maghrib, kuliah maghrib dan solat isya’ yang kebanyakkan slot ini diketuai oleh fasilitator sendiri.
Pada pukul 9.15 malam, para peserta disajikan dengan tayangan animasi ‘Muhammad Utusan Terakhir’. Setelah hampir 1 jam 30 minit, peserta diberikan beberapa soalan kuiz yang berkaitan dengan tayangan animasi tersebut. Ini bertujuan supaya para peserta dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai sirah menerusi tayangan animasi ini. Slot muhasabah pula bermula pada pukul 11.00 malam bagi menyedarkan peserta mengenai kepentingan solat dan bahaya merokok. Ini bagi menggantikan slot ‘night walk’ yang terpaksa dibatalkan kerana hujan.
Keesokan harinya, program dimulakan dengan qiyamulail dan diteruskan dengan solat subuh dan sesi tazkirah yang bertajuk ‘Cinta Ibu Bapa’. Sesi tazkirah ini dikelola oleh fasilitator sendiri, iaitu Nur Sa’adiah Mohd Yusof yang merupakan timbalan pengarah program. Kemudian, peserta dijamu dengan sarapan sebelum beriadah. Antara aktiviti yang dijalankan semasa riadah adalah kawad kaki, telefon rosak dan sakit tekak.
Program diteruskan dengan slot Anak Soleh di mana para peserta dikehendaki duduk di dalam kumpulan masing-masing dan melukis dan menyenaraikan ciri-ciri anak soleh di dalam kertas mahjong yang telah disediakan. Sesi perbentangan ringkas dijalankan bagi membina keupayaan bercakap dan keberanian dalam diri peserta. Selepas itu, bengkel smart solat pula dijalankan di mana peserta diajarkan cara berwudhu’ dan solat dengan sempurna. Solat subuh dijadikan sebagai solat yang perl dilakukan persertra dalam sesi ini.
Sesi penggulungan telah dipengerusikan oleh saudari Nur Sa’adiah Mohd Yusof yang merupakan timbalan pengarah program. Pada sesi ini peserta diminta membuat resolusi mengenai tindakan mereka yang selanjutnya untuuk menjadi anak soleh. Selain itu, sedikit peringatan juga diberikan kepada para peserta. Sesi ini diakhiri dengan majlis penutup yang turut dihadiri ketua kampung dan wakil DUN. Diharapkan para peserta dapat memperoleh sedikit sebanyak ilmu yang bermanfaat menerusi prorgram ini.
Disediakan oleh,
NUR FATIN BINTI HILMI. Setiausaha kem Hijrah Anak Soleh 2008 |
