| Kedai Kopi 2 2008 |
KEDAI KOPI 2
Pada 16 Ogos 2008, pihak Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi PETRONAS (MPPUTP) telah mengadakan satu forum perbincangan atau lebih dikenali sebagai Kedai Kopi 2 di Café V4 pada pukul 8.30malam. Forum ini telah membincangkan isu-isu mahasiswa di Universiti yang bertajuk “Bebaskah Mahasiswa Bersuara”. Forum ini telah dihadiri oleh panel-panel yang terdiri daripada MPPUTP sendiri, RCSU, Rakan Muda & Rakan Masjid yang mewakili persatuan-persatuan di UTP.
Sepanjang hampir tiga jam sesi Kedai Kopi dijalankan, pelbagai isu telah dikupas yang secara khususnya mengenai kebebasan untuk mahasiswa bersuara. Ini termasuklah kewajaran untuk semua tajaan biasiswa untuk menaikkan biasiswa pelajar berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu disebabkan ketidakstabilan harga pasaran minyak dunia pada hari ini. Selain itu, isu Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) turut diperdebat pada malam tersebut dari segi kesesuaiannya untuk dilaksanakan di Institusi Pengajian Tinggi(IPT) Di Malaysia pada hari ini. Hal ini demikian kerana setiap IPT di Malaysia telah mempunyai akta-akta Universiti yang tersendiri.
Di samping itu, para penonton juga tidak hanya duduk sambil mendengar semua panel-panel bercakap, malahan mereka turut memberi respon & cadangan dalam menghangatkan suasana kedai kopi 2. Suasana menjadi semakin panas apabila pihak moderator cuba menambah satu isu yang agak menarik & sensitif iaitu kesan kenaikan harga minyak pada mahasiswa di Universiti. Dari situ, kita dapat melihat perspektif pelajar dan masalah yang dihadapi oleh mereka terutama dari segi sara hidup akibat kenaikan harga minyak secara mendadak di negara kita. Hal ini demikian, kerana harga minyak banyak mempengaruhi harga-harga keperluan diri. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan mahasiswa bukanlah berasal daripada golongan berada. Ini menyebabkan mereka mangalami takanan dalam hidup sehinggakan terpaksa bekerja secara sambilan untuk mendapatkan wang bagi menyara hidup mereka di kampus.
Sehubungan itu, banyak cadangan dan pendapat telah dibincangkan dalam menangani masalah ini menerusi sesi kedai kopi. Apa yang penting ialah mahasiswa sepatutnya meluahkan segala hak mereka dan permasalahan mereka menerusi saluran yang betul, bukannya dipendamkan di dalam hati sahaja. Mereka perlu lebih berani bersuara supaya pihak-pihak yang tertentu dapat menganalisa segala masalah mereka. Sebenarnya, cadangan mereka tidak pernah diabaikan tetapi sikap mahasiswa itu sendiri yang lebih suka membisukan diri serta tidak berminat dengan perkembangan yang terkini. Mereka lebih suka hidup dengan cara lepak-lepak, berfoya-foya serta tidak mempunyai wawasan. Mereka inilah pemusnah harapan negara.
Forum yang berakhir kira-kira jam 12.00am itu secara keseluruhannya telah menyimpulkan bahawa mahasiswa seharusnya diberikan kebebasan untuk bersuara. Ini kerana idea mereka yang masih segar, mantap serta bernas. Mereka mampu melakukan yang terbaik dalam menentukan masa depan negara dan bakal menerajuinya pada masa hadapan. Diharap sesi Kedai Kopi dapat membuka mata mahasiswa untuk berjuang dan mempertahankan hak mereka. INSYALLAH…
Disediakan Oleh: MD AZRI BIN ABD HALIM Ketua Unit Wartawan Rakan Masjid UTP
LAMPIRAN-LAMPIRAN GAMBAR
|





