Majlis Perasmian “Islamica Resource Centre”(IRC)

MD AZRI BIN ABD HALIM,

Ketua Unit Wartawan,

Lajnah Informasi dan Multimedia,

Rakan Masjid UTP.

 

IRC, UTP, 5 Mei 2009 – Umat Islam wajar mendalami ilmu-ilmu Islam sebagai panduan dalam kehidupan seharian mereka. Ini termasuklah dengan warga UTP terutama sekali para pelajar yang sedang giat menuntut ilmu. Sehubungan itu, Unit Pentadbiran Masjid An-Nur dengan kerjasama Staf-staf di UTP membuat  inisiatif dengan membuka satu tempat untuk warga UTP dalam mendalami ilmu mengenai Islam.

Tempat yang diberi nama Islamica Resource Centre (IRC) ini telah dibuka secara rasmi pada hari ini kepada seluruh warga UTP. Majlis Pembukaan IRC ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Dr Zainal Haji Kassim, Rektor UTP. Majlis yang bermula pada pukul 10 pagi ini telah dimulai dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh saudara Zulhaziman. Beliau yang pernah menjadi johan dalam pertandingan “The Qurra” sempena “Ramadhan Discovery” telah membaca ayat dari Surah An-Nur bermula ayat ke-35.

Turut hadir pada pagi yang mulia ini ialah Tuan Haji Noor Rosli yang memberi sedikit ucapan alu-aluan kepada hadirin. Beliau turut menekankan betapa pentingnya umat Islam memahami konsep Islam dalam sains dan teknologi yang semakin berkembang pesat pada masa kini. Acara kemuncak pada pagi ini ialah ucapan dari Datuk Zainal yang turut merasmikan majlis pembukaan “Islamica Resource Centre” (IRC). IRC terletak berhampiran dengan Unit Pentadbiran Masjid UTP dan Masjid Lama UTP. Kawasan ini dikenali sebagai pusat kecemerlangan Insan yang turut merangkumi IRC.

Selepas itu, semua hadirin berarak beramai-ramai dengan paluan kompang oleh pasukan kompang UTP bertolak ke IRC di mana setiap hadirin berpeluang melihat sendiri keadaan di dalam IRC ini. Hadirin disajikan dengan tayangan montaj yang disediakan oleh Unit Pentadbiran Masjid. Datuk Zainal meluangkan masa kira-kira 30minit untuk melihat dan meneliti buku-buku yang terdapat di dalam IRC. IRC mengandungi buku yang dimuatkan di dalam 3 bahasa utama iaitu Arab, Melayu dan Inggeris.

Majlis Perasmian diakhiri dengan sedikit jamuan yang disediakan untuk semua hadirin. Diharapkan agar semua warga UTP dapat memanfaatkan IRC dalam mendalami ilmu-ilmu Islam. Akhir sekali, diharapkan semua ilmu-ilmu yang kita perolehi dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian serta menyampaikan pada orang lain. INSYALLAH.