| Mukhayyam Tarbawi |
|
Oleh: Muhammad Asyraff bin Azmi
Perak, 2 Oktober - Sebuah program di bawah anjuran Rakan Masjid UTP yang dikenali sebagai “Mukhayyam Tarbawi” telah diadakan di Kem Intan Suraya, Sungai Siput, Perak. Program ini berlangsung selama 3 hari dan 2 malam bermula pada 2 Oktober 2009 sehingga 4 Oktober 2009. Program “Mukhayyam Tarbawi” ini merupakan program yang dianjurkan oleh pihak Rakan Masjid UTP buat kali pertama sejak penubuhan badan organisasi ini. Program ini dijalankan bertujuan melatih peserta untuk berdikari, pupuk semangat kerjasama dan sebagai medium dakwah kepada peserta. Mukhayyam ini bermula pada jam 5.00 petang selepas peserta dan ahli jawatankuasa tiba di lokasi tersebut. Walaupun pada ketika itu hujan renyai tetapi kami tetap meneruskan usaha kami untuk membangunkan khemah masing-masing sebagai penginapan kami sepanjang mukhayyam ini berlangsung. Pada waktu malam pula, kami hanya mengadakan sesi taaruf antara para peserta dan ahli jawatankuasa. Kemudian, kami diminta untuk tidur lebih awal agar dapat mengadakan qiamullail pada jam 4.30 pagi. Pada hari kedua, mukhayyam ini diteruskan lagi dengan aktiviti senaman pagi yang telah diketuai oleh ahli jawatankuasa mukhayyam ini. Setelah selesai merenggangkan otot-otot badan , kami telah dihidangkan roti dan jem sebagai sarapan pagi. Pada ketika ini, kami diminta untuk menyuap makanan tersebut antara satu sama lain. Hal ini bertujuan bagi mengeratkan lagi silaturrahim antara satu sama lain dan memberi pengalaman yang baru bagi kami semua. Kemudian, aktiviti seterusnya adalah permainan yang dikenali sebagai ‘Passing Information’. Kami dikehendaki melukis gambar berdasarkan informasi yang disampaikan oleh ahli kumpulan. Seterusnya, kami dihiburkan lagi dengan permainan ‘War Game’. Kami dipecahkan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan dikehendaki membeli sejata dan menyerang mana-mana kumpulan yang menjadi pilihan. Setelah penat bermain, muslimat dikehendaki memasak makanan tengah hari dengan menggunakan bahan-bahan yang telah diberi seperti sardin, bawang, telur dan beras. Manakala muslimin pula mengambil peluang untuk berehat. Selepas selesai solat Zohor secara berjemaah, kami mengisi kekosongan perut dengan makanan yang dimasak oleh muslimat. Pada jam 3 petang, Majlis Tertinggi RM telah mengambil alih bagi meneruskan acara pada waktu petang. Acara dimulakan dengan ucapan daripada Presiden Rakan Masjid. Setelah selesai berucap, acara diteruskan dengan permainan membuat bendera Malaysia menggunakan bahan alam semulajadi. Kepekaan dan kerjasama merupakan elemen utama bagi menjayakan permainan ini. Selepas itu, acara diteruskan lagi dengan permainan mengangkat teman merentasi kawasan larangan dengan menggunkan satu jari. Elemen pengorbanan dan kerjasama antara satu sama lain memainkan peranan penting bagi menyempurnakan permainan ini. Acara ini berakhir pada jam 4.30 petang dan kami segera ke surau untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah. Selepas selesai solat, ahli jawatankuasa kembali mengambil alih tugasnya dan mengisi waktu petang dengan permainan sukaneka iaitu mengisi botol air dengan menggunakan botol yang telah ditebuk dan berjalan bersama tiga orang dengan kaki yang telah diikat. Setelah selesai bersuka ria, tibalah giliran muslimin untuk membuktikan kebolehan dalam masakan manakalah muslimat mengambil peluang ini untuk berehat. Selepas satu jam bertungkus-lumus menyiapkan hidangan malam, akhirnya kami dapat menjamu selera. Setelah selesai solat Maghrib secara berjemaah, satu tazkirah telah disampaikan oleh saudara Mukmin sehingga solat Isyak. Selepas itu, acara diambil alih sekali lagi oleh Majlis Tertinggi RM. Pada acara kali ini, kami diminta untuk menutup mata dengan menggunakan kain. Pada ketika itu, kami didedahkan dengan kepentingan Rakan Masjid di UTP dan seharusnya menegakkan syiar Islam. Setelah tamat acara ini, kami diberi taklimat mengenai acara yang ditunggu-tunggu oleh semua orang iaitu ‘Night Walk’. Kami telah dibawa masuk ke dalam hutan bermula jam 12.00 pagi sehingga 4.00 pagi. Pebagai detik pahit dan manis telah kami lalui ketika berada di dalam hutan. Pada hari ketiga berada di Kem Intan Suraya, acara diteruskan lagi dengan permainan ‘Abseiling’ iaitu menurun puncak menggunakan tali. Walaupun nampak mudah tetapi hakikatnya sukar untuk dilakukan terutamanya ketika waktu hujan kerana permainan ini memerlukan kekuatan fizikal. Kemudian, acara diteruskan lagi dengan aktiviti melakukan perancangan amal yang dapat mendekatkan diri kepada Allah. Seterusnya, acara terakhir adalah majlis penutupan bagi Mukhayyam Tarbawi 2009 dan sesi bergambar di Kem Intan Suraya. Kami bergerak pulang ke UTP pada jam 12 tengah hari. Sebagai kesimpulannya, program Mukhayyam Tarbawi 2009 pada tahun ini telah berjalan dengan lancarnya dan berharap program ini dapat memberi memori yang sangat berguna pada kita semua. |
