Palestine Talk

Share

Palestine Talk

Oleh: Mohd Faez Bin Muhamad

Masjid An-Nur UTP, 11 Oktober – Satu ceramah yang bertajuk Palestine Talk telah disampaikan pada 11 Oktober 2009 bertempat di Masjid An-Nur pada jam 8.00 malam. Ceramah ini telah disampaikan oleh Ustaz Shaharuzzaman Bin Bistaman selaku Pengerusi Aman Palestin Perak.

            Palestine Talk diadakan pada setiap tahun.Ceramah ini diadakan bagi memberi kesedaran kepada pelajar Islam di Universiti Teknologi Petronas(UTP) mengenai penindasan yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas masyarakat Islam di Palestin. Di samping itu, ceramah ini juga bertujuan untuk menaikkan semangat untuk menegakkan syiar Islam dalam kalangan warga muda.

            Ustaz Shaharuzzaman memulakan ceramah ini dengan pengenalan mengenai Palestin. Palestin terletak di benua Asia dan merupakan negara yang menghubungkan antara benua Asia dan benua Afrika.

            Derita penduduk Palestin bermula pada tahun 1897, apabila Persidangan Yahudi Sedunia diadakan dan diketuai oleh Theodor Hetzel. Palestin dijajah oleh British pada tahun 1917. Pada 15 Mei 1948, penubuhan negara Israel di atas bumi Palestin telah diisytihar secara rasminya. Israel menguasai dua per tiga daripada keseluruhan negara Palestin.

            Di dalam ceramahnya, Ustaz Shaharuzzaman telah menunjukkan gambar-gambar kemusnahan dan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Zionis terhadap umat Islam. Antara kekejaman yang dilakukan oleh tentera Zionis ialah membunuh penduduk Palestin, memusnahkan kediaman penduduk Palestin dan cuba meruntuhkan masjid al-Aqsa untuk membina kuil di atas tapak masjid tersebut.

            Selain itu, Ustaz Shaharuzzaman juga menerangkan beberapa peranan kita sebagai umat Islam. Sebagai umat Islam, kita haruslah meningkatkan kesedaran diri sendiri dan mengambil berat mengenai ehwal Islam. Di samping itu, kita haruslah memboikot barangan Israel dan syarikat yang menyokong Israel. Akhir sekali, kita perlu sebarkan maklumat kepada rakan taulan mengenai kekejaman Zionis, mengadakan kempen boikot dan derma untuk Palestin.

            Firman Allah SWT: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran kami” ( al- Isra’:1).

 

Add comment


Security code
Refresh