Khemah Ibadah 2009

Share

http://www.malaysiaharmoni.com/

TRONOH, 14 Disember - Dalam usaha melahirkan anak-anak yang beriman dan bertakwa, Unit Pentadbiran Masjid Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan kerjasama Rakan Masjid UTP telah menganjurkan program khemah ibadah sempena musim cuti sekolah di UTP dari 8 hingga 13 Disember lalu.

Dengan tema 'Ke Arah Melahirkan Anak Soleh', program ini berjaya menarik minat 404 orang peserta berumur antara 10 hingga 17 tahun. Para peserta datang dari seluruh pelosok tanah air. Pada tahun lepas, lebih 300 orang mengikuti khemah ibadah ini, namun pada tahun ini jumlah tersebut meningkat hampir 100 orang. Peserta tahun ini terdiri daripada 225 lelaki dan 179 perempuan. Yuran sebanyak RM100.00 yang dikenakan pula amat murah memandangkan ia adalah program enam hari lima malam.

Hampir 70 orang yang menjadi fasilitator dan ahli jawatankuasa program terdiri daripada mahasiswa UTP yang sedang menghabiskan cuti semester. Mereka dibantu pula oleh beberapa orang staf sebagai penasihat.

#Ketua Fasilitator yang juga merupakan pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal UTP, Khairul Anuar Zainal Abidin (gambar), ketika ditemui berkata, "Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar. Peserta sangat gembira walaupun terdapat beberapa orang daripada mereka yang menangis kerana mahu balik ke rumah pada awal program. Kami amat mengharapkan peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, taat akan perintah Allah, Rasul dan ibu bapa."

Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah bengkel solat, tasmi’ hafazan, tahsin al-Quran, Malam Kesenian Islam dan banyak lagi.

Pada hari terakhir, sebelum majlis perasmian penutup, ibu bapa dan peserta disajikan dengan ceramah motivasi oleh penceramah bebas, Ustaz Munawir Salehuddin. Para hadirin dilihat sangat teruja dan bersemangat mendengar ceramah tersebut.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Perak, Ustaz Harith Fadzilah Abd Halim. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa kesyukuran kerana program ini dapat dijalankan dengan jayanya.

"Sambutan yang diberi sangat menggalakkan sehingga pihak penganjur terpaksa menolak beberapa permohonan memandangkan tempat penginapan terhad. Perkara ini menunjukkan ibu bapa semakin mementingkan didikan agama kepada anak-anak. Sesungguhnya anak yang soleh lahir daripada ibu bapa yang soleh," kata beliau.

Khemah ibadah ini merupakan kali kedua diadakan di UTP. Ketika tanah UTP sekarang masih digunakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), program yang serupa telah diadakan untuk penduduk berdekatan. Atas inisiatif eksekutif Unit Pentadbiran Masjid UTP, Ustaz Dawi Cahyono Nurdin, program khemah ibadah disambung semula pada tahun lepas di bawah nama UTP.

 

Add comment


Security code
Refresh