RMUTP berjaya menganjurkan Khemah Ibadah Musim Cuti Sekolah kali ke-3 (KI’10)

Share

Seri Iskandar, 20 Disember 2010 - Dengan bertemakan “Ke arah Melahirkan Anak Soleh”, Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dengan kerjasama Unit Pentadbiran Masjid UTP telah menapak lebih kehadapan dengan menganjurkan program Khemah Ibadah Musim Cuti Sekolah 2010 untuk masyarakat luar kampus. Program Khemah Ibadah Musim Cuti Sekolah ini diadakan di UTP selama 5 hari 4 malam bermula 14 Disember sehingga 18 Disember 2010. Program ini julung kalinya diadakan pada tahun 2008 dan tahun ini merupakan tahun ketiga program ini dianjurkan.

   Ini adalah bersesuaian dengan salah satu objektif Khemah Ibadah itu sendiri iaitu memantapkan kefahaman anak-anak terhadap asas-asas ajaran Islam. Penyertaan peserta pada kali ini adalah seramai 310 orang termasuk peserta yang ditaja dari kalangan anak-anak yatim dan anak-anak orang asli di sekitar Perak. Sepanjang program ini, peserta telah didedahkan dengan bengkel, modul dan aktiviti yang selari dengan objektif program Khemah Ibadah  Musim Cuti Sekolah 2010 yang merangkumi ibadah, aqidah, akademik dan juga motivasi. Selain itu, para peserta telah dilatih dan ditunjuk ajar oleh fasilitator untuk memahami dan berlatih secara praktikal tentang perkara-perkara yang terkandung di dalam modul yang telah disediakan. Secara keseluruhannya, program pada kali ini dilihat telah menyuntik semangat ingin tahu di dalam diri para peserta.

            Kemuncak program ini adalah pada hari terakhir program yang mana telah diadakan sesi motivasi yang menarik bersama waris oleh A.F Ustaz Abdullah Khairi seorang motivator terkenal di utara semenanjung tanah air.  

Antara penambahbaikan Khemah Ibadah 2010 ialah pengumuman Alumni Khemah Ibadah UTP seperti yang diumumkan oleh Pengarah Projek , saudara Mohd Syarmizi Zolkiflee dalam ucapannya;

“Alhamdulillah dengan inisiatif sekretariat Khemah Ibadah 2010, Alumni Khemah Ibadah ditubuhkan bagi mengekalkan perhubungan dan juga sebagai platfom program susulan Khemah Ibadah UTP”

Majlis perasmian penutup yang telah disempurnakan oleh wakil dari Baitulmal Perak iaitu A.F. ustaz Mohd Haidi Bin Sulaiman selaku Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

            Beliau menceritakan tentang kehebatan teknologi zaman dahulu dan sekarang yang menyentuh persoalan modal insan.

“Sesungguhnya, penghantaran anak-anak ke Khemah Ibadah UTP merupakan perkara yang selari dengan pembentukan modal insan yang baik,” katanya dalam ucapan majlis penutupan.

Dalam ucapannya, beliau juga berharap program ini dapat dilaksanakan lagi pada tahun-tahun yang akan datang dengan lebih gilang gemilang.

            Dengan slogannya, “KI.. BEST!!!” dan “ANAK-ANAK....SOLEH!!!”, pihak sekretariat Khemah Ibadah Cuti Sekolah 2010 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini samada secara langsung mahupun belakang tabir.

 

Add comment


Security code
Refresh