| Marhaban ya Ramadhan |
MASJID AN-NUR UTP, 27 OGOS - Satu ceramah yang bertajuk “Marhaban ya’ Ramadhan” telah diadakan pada 27 Ogos 2009 yang bertempat di Masjid An-Nur pada jam 8.00 malam. Ceramah ini telah disampaikan oleh Dr. Zulkifli bin Mohammed Al-Bakri. Majlis ini telah dianjurkan oleh Petronita dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid An-Nur dan Rakan Masjid UTP. “Marhaban ya’ Ramadhan” ini merupakan salah satu aktiviti Ramadhan Discovery yang berlangsung dari 1 Ogos sehingga 6 September 2009. Ceramah ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada warga kampus tentang hikmah berpuasa di bulan Ramadhan al-Mubarak. Antara pengisian yang telah diberikan oleh penceramah pada hari itu adalah, kita sebagai muslim hendaklah bersyukur kerana diberi peluang untuk berpuasa di bulan yang penuh dengan rahmat Allah. Walaupun kita sering mendengar bahawa pada bulan Ramadhan, segala amalan yang baik akan digandakan tetapi terdapat juga kelebihan lain yang boleh kita perolehi dalam bulan Ramadhan ini. Salah satu daripadanya adalah orang yang berpuasa akan mendapat taqwa Allah. Dengan ketaqwaan Allah ini, kita akan diberi petunjuk dan segala amalan kita akan diberkati Allah. Selain itu, puasa juga akan menyebabkan tubuh badan kita menjadi lebih sihat. Hal ini demikian kerana ketika berpuasa, proses detoksifikasi boleh berlaku dengan lebih cepat kerana tiada makanan yang masuk ke dalam badan. Segala toksik yang ada di dalam badan ini dapat disingkirkan dalam jumlah yang lebih banyak dalam masa yang singkat. Tambahan lagi, apabila tubuh badan sihat, hal ini dapat menjana kecerdikan akal fikiran kita. Segala ilmu yang kita pelajari dalam kuliah mudah difahami dan dihafal. Di samping itu, puasa juga mengajar kita untuk lebih prihatin terhadap masa. Ketika di bulan puasa ini, kita akan berusaha sedaya upaya kita untuk memperbanyakkan amalan kita kepada Allah. Oleh itu, kita akan berusaha untuk mengisi masa lapang dengan melakukan amalan yang berfaedah. Jika kita lihat dengan lebih terperinci, segala usaha yang kita lakukan di bulan Ramadhan ini dapat mendisiplinkan diri sendiri. Sebagai contoh, kita akan bangun di awal pagi untuk bersahur. Seterusnya, puasa juga melatih diri kita untuk menjadi orang yang lebih bersabar dan bersyukur. Kita semua akan berusaha untuk menahan diri daripada makan dan minum pada waktu siang dan bersabar menanggung segala kesusahan yang dialami sepanjang berpuasa di bulan Ramadhan ini. Selain itu, ukhuwah islamiah sesama muslim dapat diperkukuhkan lagi dengan berpuasa di bulan Ramadhan al-Mubarak.Diharapkan Ramadhan kali ini dapat mentarbiyyah diri dan menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik dari sebelumnya.
Disediakan oleh, Unit Wartawan Lajnah Informasi dan Multimedia, Rakan Masjid UTP.
|
