| Seminar Kewangan: Harta Pusaka Islam Dan Cara Penyelesaiannya |
Oleh: MD AZRI BIN ABD HALIM, Ketua Unit Wartawan, Lajnah Informasi dan Multimedia, Rakan Masjid UTP.
Undercroft, Dewan Canselor, UTP, 14 Mac 2009 – Bersempena dengan “Halal Festival 2009” yang dijalankan di UTP, satu seminar atau perbincangan mengenai kewangan telah diadakan. Tajuk seminar kewangan ini ialah “Harta Pusaka Islam Dan Cara Penyelesaiannya”. Sehubungan itu, seorang penceramah khas dari AMANAHRAYA Perak iaitu Encik Ahmad Fushari Bin Ahmad Shafiei telah dijemput khas untuk member ceramah untuk para hadirin. Beliau yang merupakan anak jati negeri Perak ini telah memegang jawatan sebagai Pengurus Jabatan Pengurusan Channel Pasaran, AMANAHRAYA peringkat negeri Perak. Seminar yang bermula pada jam 2.30petang ini telah dihadiri oleh tetamu-tetamu khas yang telah dijemput iaitu wakil-wakil penganjur Halal Festival 2009 iaitu Rakan Masjid(RM), Sekretariat Rakan Muda(SRM) dan “Young Entrepreneurs Club”(YEC). Ini termasuklah bendahari Rakan Masjid UTP iaitu saudara Faidhah Hassan. Walaupun hadirin yang menghadiri seminar itu kurang pada permulaan seminar, tetapi ia turut dihadiri oleh penduduk-penduduk dari kampus. Ini termasuklah seorang mak cik yang berada di dalam lingkungan usia 40 tahun ke atas. Ini membuktikan bahawa seminar ini bukan ditujukan pada golongan belia malahan terhadap golongan berusia yang masih memerlukan banyak pengetahuan mengenai Harta Penyelesaian Islam. Ini kerana, pada satu masa nanti, golongan ini akan menghadap Ilahi dan wajib membahagikan harta mereka dengan cara Islam iaitu faraid. Menurut Encik Ahmad Fushari, Faraid akan berlaku apabila si mati tidak sempat membuat wasiat ataupun terdapat lebihan harta pusaka pada si mati. Sekiranya ini berlaku, orang yang wajar memegang amanah untuk si mati ialah anak lelaki dalam keluarga tersebut. Hal ini demikian, orang-orang tua pernah berkata, apabila lahirnya anak lelaki di muka bumi, maka, wujudlah perisai atau perlindungan di dalam keluarga tersebut. Menurut beliau, tanggungjawab AMANAHRAYA sebenarnya memastikan harta pusaka Islam dapat dibahagikan secara adil kepada waris-waris yang layak iaitu berlandaskan faraid. Jabatan beliau turut membantu dalam masalah-masalah tertentu seperti ketiadaan anak lelaki dalam sesbuah keluarga. Jika ini berlaku, perlulah ia diberikan kepada orang-orang yang terdekat seperti ayah, ibu, suami dan isteri serta adik-beradiknya sekiranya ketiadaan waris-waris yang layak. Faraid tidak perlu diamalkan sekiranya si mati telah membuat wasiat dalam penyerahan harta pada waris-warisnya
Diharapkan seminar ini member sedikit pengetahuan kepada hadirin. Seminar ini turut menyaksikan hubungan komunikasi dua hala iaitu antara penceramah dengan hadirin. Ini menunjukkan bahawa segala pengetahuan yang kita ada haruslah dikongsi bersama. Bab kata Rasulullah S.A.W, sampaikan pesanan dariku walaupun hanya satu ayat. Seminar ini diakhiri dengan penyampaian hadiah dari pihak “Halal Festival 2009” iaitu Saudara Muhammad selaku pengarah “Halal Festival 2009” kepada Encik Ahmad Fushari sebagai tanda kenang-kenangan. Seminar tamat pada pukul 5.00petang di mana setiap hadirin disajikan dengan sedikit jamuan ringan sebelum bersurai. |
